widgets

Tuesday, April 11, 2017

1.0 PENGENALAN          
       
Penerapan KBAT dalam pendidikan menggunakan pendekatan yang menyeluruh dan sistematik yang merangkumi tujuh elemen KBAT yang terdiri daripada tiga elemen utama iaitu Kurikulum, Pentaksiran dan Pedagogi serta empat elemen sokongan iaitu Kokurikulum, Sokongan Komuniti dan Swasta, Sumber dan Bina Upaya. Elemen-elemen ini merupakan elemen yang amat penting bagi melaksanakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dengan jayanya. Contoh pelaksanaan ketujuh-tujuh elemen tersebut adalah seperti berikut:
1. Kurikulum - perubahan dalam pembelajaran murid     
2. Pedagogi - perubahan dalam pendekatan pengajaran  
3. Pentaksiran - tingkatkan peratus dan kualiti soalan pentaksiran         
4. Kokurikulum - setiap murid terlibat di dalam projek 1 Murid 1 Projek untuk meningkatkan KBAT
5. Sokongan komuniti dan swasta -  mewujudkan mekanisme galakan penyertaan komuniti dan sector swasta untuk menyokong aktiviti KBAT di sekolah.
6. Bina upaya - menyediakan latihan KBAT kepada guru, membimbing guru dalam KBAT
7. Sumber -  mempertingkat dan mempelbagaikan sumber KBAT

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) KBAT yang berkesan perlu berpusatkan murid dengan melibatkan mereka secara aktif dalam PdP melalui tugasan dan soalan yang mencabar pemikiran. Justeru, guru perlu mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif bagi merangsang murid berfikir. Guru juga boleh menggunakan alat berfikir dan teknik penyoalan dalam usaha membudayakan pemikiran yang kritis dan kreatif dalam kalangan murid.
Pedagogi yang melibatkan murid berfikir telah lama dilaksanakan melalui program Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK) yang dilaksanakan di sekolah pada tahun 1994. Program ini diteruskan dan dimantapkan dengan pengenalan KBAT seperti yang disarankan dalam PPPM (2013-2025). Pengetahuan, kemahiran, nilai dan sikap yang ada pada seseorang individu memainkan peranan penting dalam proses berfikir. Kesemua aspek ini menjadi latar belakang untuk membuat penaakulan dan refleksi sehingga membolehkan seseorang individu berfikir ke aras yang lebih tinggi dalam konteks dapat membuat keputusan, menyelesaikan masalah, menginovasi dan mencipta. Dalam proses ini, empat tahap pemikiran yang tinggi diberi fokus iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta.


2.0 PERANCANGAN DAN PELAKSANAAN KBAT DALAM PEDAGOGI

Bagi melaksanakan KBAT dalam PdP, guru perlu membuat penelitian dengan merujuk kepada standard pembelajaran yang dinyatakan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). Standard pembelajaran merupakan pernyataan tentang apa yang murid patut ketahui dan boleh lakukan. Sekiranya pernyataan tersebut merujuk kepada tahap KBAT, guru perlu melakukan tindakan berikut:

Langkah pertama:
Rujuk Standard Pembelajaran berasaskan KBAT – kenal pasti elemen KBAT dalam pembelajaran.

Langkah kedua:
Rancang PdP
·         Sediakan RPH - nyatakan objektif pembelajaran secara eksplisit
                               - Sediakan aktiviti yang membolehkan murid menggunakan KBAT
·         Sediakan BBB - Sediakan Bahan Bantu Belajar yang dapat mengalakkan KBAT

Langkah ketiga:
Melaksanakan PdP - Gunakan alat berfikir yang sesuai
Kemukakan soalan yang boleh menggalakkan KBAT
Wujudkan suasana bilik darjah yang membantu murid menggunakan KBAT

Langkah keempat:
Mentaksir - Pastikan terdapat soalan KBAT dalam pentaksiran

Langkah kelima:
Refleksi - Buat refleksi tentang keberkesanan PdP dalam menggalakkan KBAT


3.0 STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Guru perlu merancang dan melaksanakan KBAT melalui pelbagai strategi PdP yang berkesan dan bersesuaian dengan objektif rancangan pengajaran harian. Strategi PdP yang boleh digunakan adalah seperti konstruktivisme, pembelajaran berasaskan konteksual, pembelajaran berasaskan projek, inkuiri dan kajian masa depan. Strategi yang bersesuaian dengan objektif rancangan pengajaran dapat membantu pelajar untuk berfikir dengan aras yang tinggi. Berikut merupakan definisi setiap strategi yang telah disenaraikan tadi:

          3.1 Konstruktivisme                 
Konstruktivisme adalah satu fahaman bahawa murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada. Guru perlu mengemukakan soalan aras tinggi supaya murid dapat berfikir dan menggunakan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan yang sedia ada untuk membina pengetahuan baru. Guru harus menggalakkan murid mencari jawapan sendiri.

           3.2 Kontekstual
Pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan
dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Kaedah ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti hands-on dan minds-on. Dalam strategi ini, murid dapat menggunakan pengetahuan sedia ada dalam situasi yang berlainan.

           3.3 Pembelajaran Berasaskan Projek
Pembelajaran berasaskan projek adalah suatu kaedah penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai melalui pengalaman pembelajaran berasaskan tugasan aktiviti jangka panjang antara disiplin ilmu, berpusatkan murid dan mengintegrasikan isu semasa dan amalan. Kaedah ini menekankan tugasan intelek bagi meneroka isu yang kompleks. Kaedah ini menggalakkan pemahaman murid di mana murid dapat meneroka untuk mencari maklumat, membuat interpretasi, membuat keputusan atau kesimpulan.

           3.4 Pembelajaran Berasaskan Inkuiri
Pembelajaran berasaskan inkuiri ialah suatu pendekatan mencari jawapan kepada persoalan yang diutarakan. Ia melibatkan penyiasatan, penerokaan, mengumpul data, membuat kesimpulan untuk menyelesaikan masalah, membuat refleksi tentang kaedah yang digunakan dan berkomunikasi bagi berkongsi dapatan tentang masalah berkenaan.
ELEMEN KBAT DALAM PEDAGOGI KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
           3.5 Kajian Masa Depan
Kajian masa depan memberi kesedaran dan merangsang murid berfikir tentang isu, masalah dan peluang yang bakal dihadapi. Hal ini membolehkan mereka memandang masa depan dengan yakin dan optimis seperti berikut:
                                           i.            membuat ramalan tentang trend dan perubahan yang akan berlaku berdasarkan                    pengetahuan dan maklumat sedia ada,
                                           ii.            menjangka kesan atau akibat sesuatu fenomena, trend, atau perubahan masa depan
                     
                             iii.         menggunakan pelbagai sumber bagi mengawal, menangani serta mengendalikan 
                               perubahan supaya mendapat manfaat yang maksimum.

Dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran ini, pelajar memerlukan alat untuk berfikir bagi membantu pemikiran yang lebih tersusun, sistematik, dan berfokus. Alat berfikir yang boleh digunakan ialah peta pemikiran, penyusun grafik, soalan dan penyoalan, peta minta, coRT, 6 Thinking Hats, dan i-Think.

Di samping itu, guru juga perlu menggunakan teknik penyoalan aras tinggi untuk menyoal pelajar berdasarkan tahap pemikiran KBAT. Terdapat enam tahap pemikiran KBAT yang boleh digunakan oleh guru untuk memberi soalan kepada pelajar iaitu tahap mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta.

4.0 Penutup

Penerangan KBAT dalam pelaksanaan dan pedagogi ini diharap memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada para pembaca yang sedang mencari sumber berkaitan dengan KBAT. Pemahaman dan penghayatan guru merupakan aspek yang sangat penting bagi melahirkan pelajar yang kreatif, kritis dan inovatif. Tanpa peranan guru, KBAT tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan baik.