widgets

Tuesday, April 11, 2017


3.0 STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Guru perlu merancang dan melaksanakan KBAT melalui pelbagai strategi PdP yang berkesan dan bersesuaian dengan objektif rancangan pengajaran harian. Strategi PdP yang boleh digunakan adalah seperti konstruktivisme, pembelajaran berasaskan konteksual, pembelajaran berasaskan projek, inkuiri dan kajian masa depan. Strategi yang bersesuaian dengan objektif rancangan pengajaran dapat membantu pelajar untuk berfikir dengan aras yang tinggi. Berikut merupakan definisi setiap strategi yang telah disenaraikan tadi:

          3.1 Konstruktivisme                 
Konstruktivisme adalah satu fahaman bahawa murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada. Guru perlu mengemukakan soalan aras tinggi supaya murid dapat berfikir dan menggunakan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan yang sedia ada untuk membina pengetahuan baru. Guru harus menggalakkan murid mencari jawapan sendiri.

           3.2 Kontekstual
Pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan
dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Kaedah ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti hands-on dan minds-on. Dalam strategi ini, murid dapat menggunakan pengetahuan sedia ada dalam situasi yang berlainan.

           3.3 Pembelajaran Berasaskan Projek
Pembelajaran berasaskan projek adalah suatu kaedah penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai melalui pengalaman pembelajaran berasaskan tugasan aktiviti jangka panjang antara disiplin ilmu, berpusatkan murid dan mengintegrasikan isu semasa dan amalan. Kaedah ini menekankan tugasan intelek bagi meneroka isu yang kompleks. Kaedah ini menggalakkan pemahaman murid di mana murid dapat meneroka untuk mencari maklumat, membuat interpretasi, membuat keputusan atau kesimpulan.

           3.4 Pembelajaran Berasaskan Inkuiri
Pembelajaran berasaskan inkuiri ialah suatu pendekatan mencari jawapan kepada persoalan yang diutarakan. Ia melibatkan penyiasatan, penerokaan, mengumpul data, membuat kesimpulan untuk menyelesaikan masalah, membuat refleksi tentang kaedah yang digunakan dan berkomunikasi bagi berkongsi dapatan tentang masalah berkenaan.
ELEMEN KBAT DALAM PEDAGOGI KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
           3.5 Kajian Masa Depan
Kajian masa depan memberi kesedaran dan merangsang murid berfikir tentang isu, masalah dan peluang yang bakal dihadapi. Hal ini membolehkan mereka memandang masa depan dengan yakin dan optimis seperti berikut:
                                           i.            membuat ramalan tentang trend dan perubahan yang akan berlaku berdasarkan                    pengetahuan dan maklumat sedia ada,
                                           ii.            menjangka kesan atau akibat sesuatu fenomena, trend, atau perubahan masa depan
                     
                             iii.         menggunakan pelbagai sumber bagi mengawal, menangani serta mengendalikan 
                               perubahan supaya mendapat manfaat yang maksimum.

Dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran ini, pelajar memerlukan alat untuk berfikir bagi membantu pemikiran yang lebih tersusun, sistematik, dan berfokus. Alat berfikir yang boleh digunakan ialah peta pemikiran, penyusun grafik, soalan dan penyoalan, peta minta, coRT, 6 Thinking Hats, dan i-Think.

Di samping itu, guru juga perlu menggunakan teknik penyoalan aras tinggi untuk menyoal pelajar berdasarkan tahap pemikiran KBAT. Terdapat enam tahap pemikiran KBAT yang boleh digunakan oleh guru untuk memberi soalan kepada pelajar iaitu tahap mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta.

No comments:

Post a Comment